Powered By Blogger

Thursday, February 3, 2011

CERPEN: Sayang Anak Mak




 Kepala gas kupusingkan ke kanan. Serentak dengan itu tersembur api membentuk satu bulatan dan kemudian bersatu. Nyalaan itu tidak ubah seperti unggun api kecil. Sekilas bola mataku memandang bahan memasak yang tersedia di atas meja. Setelah minyak yang sesudu besar itu
kelihatan sudah panas, aku mula menumis. Rempah giling yang kubeli di pasar tadi kumasukkan setelah bawang yang ditumis kelihatan kekuningan. Sementara menunggu rempah itu mengeluarkan bau yang menyelerakan, aku membasuh beberapa bekas kotor di dalam singki. Hidangan perlu disiapkan. Amirul suamiku dan anak-anakku akan pulang dan bersama-sama makan tengah hari.

“Amir...” Nama itu tiba-tiba terpancul dalam ingatan. Cepat-cepat aku ke pintu antara dapur dengan ruang tamu.

  Kelihatan Amir duduk di atas sofa sendirian. Melepas pandangan jauh ke hadapan. Rancangan kartun Doraemon yang sedang ditayangkan di kaca televisyen menjadi teman berhibur. Sesekali Amir ketawa kecil. Mungkin geli hati dengan gelagat watak-watak dalam kartun itu. Amir begitu manis dipandang setelah aku mandikan dan kupakaikan baju. Aku tersenyum dan kembali ke dapur untuk memasak. Amir adalah anak bongsu yang amat kusayangi. Begitu juga dengan suami. Aku dan suami begitu gembira menyambut kelahiran Amir lapan tahun yang lalu. Amirlah
satu-satunya anak lelaki tunggalku. Seorang kakak Amir, Amira belajar dalam tingkatan satu manakala Amiza dalam darjah lima.

“Anak encik terpaksa saya tahan kerana suhu badannya melebihi tahap normal.”

“Baiklah, doktor. Lakukanlah yang terbaik untuk anak saya.”, balas Amirul perlahan.

  Amir dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana demam panas luar biasa. Aku tidak henti-henti membuang air mata di samping bayi comel itu. Aku tidak berdaya melihat keadaan anak saya yang baru berusia sebulan apabila tiba-tiba sahaja kekejangan diserang sawan.  Setelah diberi suntikan dan dimasukkan air, keadaan Amir semakin pulih dan kemudian dibenarkan doktor pulang setelah seminggu dirawat.

“krinnngg....krinnngg....”. Deringan telefon berbunyi menjerit minta diangkat.

  Aku bergegas ke ruang tamu sebaik sahaja menutup api gulai ikan yang sudah masak. Mataku sempat menjeling ke arah Amir yang asyik menonton televisyen.

“Hello”. Bicaraku sepatah sebaik sahaja gagang kemas diletakkan pada mulut.

“Assalamualaikum”. Terdengar suara garau lelaki memberi salam di hujung talian.

“Waalaikummussalam”. Jawabku sambil ligat meneka pemilik suara yang pernah kudengar itu.

“Puan Azira ya, Cikgu Hamzah bercakap di sini.”

  Aku terkedu apabila mendengar nama itu. Lelaki seorang pendidik yang mengajar di sekolah Amiza yang juga salah seorang penduduk di kawasan itu tidak pernah berputus asa.

“Puan..puan..masih di situ?”

“Ya, cikgu saya masih di sini. Ada apa cikgu?” Aku cuba mengawal agar perasaan tidak senangku dihidu oleh lelaki berkaca mata itu.

“Petang nanti lebih kurang pukul 3.00, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ingin berjumpa dengan puan suami isteri. Boleh?”

“Baiklah”, jawabku sepatah.

Salam daripada Cikgu Hamzah mengakhiri perbualan itu.

  Aku memandang penuh kasih Amir yang mula gelisah di sofa. Kupandang lama-lama wajah comel itu. Tiba-tiba tanpa kusedari titik jernih mengalir di pipiku. Aku cepat-cepat menyapu dengan jari kedua-dua belah tanganku. Tiba-tiba telefon menjerit lagi. Aku terkejut dan segera mencapai gagang telefon.

“Ira, abang di sini. Ira sedang buat apa tadi?” Suara lelaki yang paling dicintai itu meredah ombak duka yang menghempas pantai perasaan.

“Ira... Ira tengah masak bang. Abang di mana? Abang tidak balik makan tengah hari ke?” Suara lembutku melenggok manja.

“Tengah masak? Tentu sedap. Abang balik sekarang ya. Tunggu kita makan bersama-sama dengan anak-anak.” Penjelasan itu membuatkan aku tersenyum.

Aku melangkah ke dapur mengemas dan sibuk menghidangkan makanan yang baru dimasak.

  Gulai ikan, ayam kicap, sambal tumis udang, sup sayur dan beberapa ekor ikan goreng, siap terhidang. Amiza di sebelah kiriku manakala Amira di sebelah kanan Amirul. Amir anak kesayangan kami suami isteri di tengah-tengah antara aku dan Amirul. Sepotong doa dibaca oleh Amirul sebelum menjamah.

“Amir, mak suap ya”, beritahuku.

“Tidak mahu! Amir hendak suap sendiri.”, minta Amir manja.

“Tak apalah, mak suap. Senang sikit.” Pujukku.

Entah kenapa semenjak akhir-akhir ini Amir selalu minta untuk melakukan sendiri. Amir diam. Air mukanya berubah.

“Biarlah Ira. Biar Amir suap sendiri. Amir sudah besar. Dia boleh buat
sendiri.” Amirul bersuara setelah keadaan sepi seketika.

  Amirul menjeling ke arahku, memberi isyarat membiarkan Amir menyuap sendiri nasi tengah hari itu. Amirul meletakkan pinggan di hadapan Amir. Amir tersenyum apabila menyentuh pinggan yang diletakkan di hadapannya. Aku menyendok nasi ke pingannya dan mencubit isi ikan dan sedikit sup sayur ke dalam pinggan Amir.

“Makan Mir, mak dah letakkan lauk.”, beritahuku.

  Jari jemari halus Amir mula menyentuh pinggannya. Aku cukup tersentuh melihat Amir menyuapkan nasi ke mulut. Menguis-nguis nasi dan mencampurkan lauk lalu disuap lagi. Air mataku sekali lagi tumpah. Tidak sanggup melihat. Amirul merenungku lama dan kemudian menjeling ke arah Amiza dan Amira. Bimbang kalau-kalau anak-anak gadisnya itu menyedari perubahan pada ibu mereka. Kedua-dua anak itu asyik makan tanpa sedar gelodak yang menyerang hati ibu mereka.

“Abang, tadi Cikgu Hamzah telefon. Dia beritahu pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat hendak datang ke rumah pada petang ini, lebih kurang pukul 3.00.”

  Aku memberitahu. Beberapa saat aku menanti tindak balasnya. Namun Amirul tidak memberi apa-apa reaksi dengan kenyataan itu. Sekadar mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Amir, mari sini. Biar ibu basuhkan tangan.”

“Tidak mahu. Amir hendak basuh sendiri dekat singki.” Aku terdiam lagi.

  Amirul mengangguk kecil tanda mengikut. Amir bangun dari kerusi dan membawa pinggannya bergerak ke dapur. Kakinya melangkah perlahan dan teragak-agak. Aku memandang ke arah lain kerana tidak sanggup melihat.

  Amir seorang kanak-kanak lincah. Mulutnya tidak henti-henti berceloteh membuatkan ramai yang suka padanya. Cukup sahaja diberikan sebuah bola kecil. Amir akan riang bermain bersama-sama kakaknya. Kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Keadaan Amir berubah ketika berusia dua tahun. Amir tidak seriang dulu bermain. Malah Amir banyak menangis dan berdiam sahaja. Merengek-rengek minta ibu dan ayah sentiasa bersamanya. Suatu perkara yang kuperhatikan. Amir mula melihat dengan jarak yang dekat. Kerap terlanggar dan jatuh ketika berjalan. Malah apabila aku menghulurkan botol susu Amir tidak segera menyambut seperti dahulu. Aku dan suami resah.

  Suatu hari, kami membawa Amir ke hospital untuk menerima rawatan. Doktor mengambil masa untuk mengenal pasti keadaan Amir. Sehinggalah suatu hari doktor memberitahu sesuatu yang tidak dapat kuterima.

“Puan, anak anda mengalami penyakit glaucoma. Glaucoma adalah suatu penyakit dari saraf utama penglihatan iaitu saraf optik.Saraf optik menerima cahaya dari retina dan memancarkan impuls-impuls ke otak dan itulah dikatakan sebagai penglihatan. Pada umumnya, glaucoma akan mula dari kehilangan pengihatan samping yang hampir tidak ketara. Oleh itu, saya khuatir anak anda mempunyai risiko untuk menjadi buta tidak lama lagi.”

  Betapa remuknya dan berkecainya hati ini mendengar penjelasan itu. Pagi, petang, siang, malam aku tidak senang duduk. Susah hati memikirkan masa depan Amir.

  Seperti yang dijangkakan, Amir akhirnya menjadi buta. Meskipun begitu kasih dan sayangku padanya tidak pernah berubah malah semakin bertambah. Setiap hari aku akan pastikan keadaannya terurus. Aku akan memandikan, memakaikan baju, menyuapkan makanan malah apa yang diminta dipenuhi. Aku tidak akan biarkan Amir keseorangan apatah lagi untuk berpisah.

“Amir perlu menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain. Saya yakin Amir boleh berjaya dalam pendidikan paling tidak pun apabila Amir dewasa nanti Amir mampu berdikari tanpa bergantung harapan pada orang lain. Kami sedia membantu menguruskan pendaftaran dan seterusnya memastikan Amir bersekolah dengan baik.”

“Amir tidak boleh berpisah dengan kami. Tidak. Kami akan menjaganya. Kami akan pastikan keadaannya baik.” Tegasku sambil memeluk Amir erat.

“Jangan begitu puan. Kalau puan suami isteri betul sayangkan Amir, Amir perlu diberi peluang bersekolah. Sekurang-kurangnya apabila puan dan encik sudah tiada lagi di dunia ini, Amir mampu hidup sendiri dan tidak perlu menyusahkan orang lain. Saya tahu puan dan encik punya
anak-anak lain yang boleh diharap menjaga Amir. Tetapi anak-anak lain perempuan, suatu hari akan mendirikan rumah tangga. Kalau mereka sudi menjaga Amir sekalipun bagaimana dengan suami mereka nanti. Amir akan berterima kasih dengan puan dan encik jika Amir diberi peluang
bersekolah, bertemu dan bermain dengan kanak-kanak lain dan dapat merasai kehidupan seperti orang lain.”

“Tidak. Tidak.” Aku mula menangis.

“Beginilah puan dan encik, saya cadangkan anda ikut kami melawat sekolah dan pusat-pusat latihan orang-orang yang senasib dengan Amir. Mungkin puan dan encik akan yakin dan faham tentang keperluan masa depan Amir.”

“Baiklah, kami bersetuju.” Jawab suamiku yang dari tadi mendiamkan diri. Aku sendiri tidak tahu apa yang telah menyebabkan suamiku mengambil keputusan mengikut cadangan dua pegawai yang datang ke rumah bersama-sama Cikgu Hamzah petang itu. Hatiku tidak henti-henti
memprotes tindakan suamiku itu. Setinggi gunung sekalipun protesku, aku perlu mengikut Amirul. Amirul suamiku. Aku isterinya tidak boleh membantah.

  Pagi itu kami bertiga anak-beranak bersama-sama dua orang pegawai ke sekolah rendah pendidikan khas. Kami disambut oleh guru besar sekolah itu. Seorang perempuan yang berbadan agak gempal. Sekolah itu cantik sekali. Lengkap dengan taman permainan dan keperluan-keperluan lain. Sekolah itu juga menyediakan asrama bagi kanak-kanak seperti Amir.

  Kami dibawa ke kawasan kelas. Telingaku menangkap suara kanak-kanak belajar. Riuh rendah. Setiap kelas tidak ramai muridnya. Antara enam hingga 15 orang sahaja. Cikgu-cikgu yang mengajar pula kelihatan tekun mengajar serta sabar melayan kerenah murid-murid. Amir yang di pimpinku berjalan di sebelah kelihatan takut-takut. Sesekali jariku mengusap rambut Amir penuh kasih. Kami dibawa masuk ke sebuah kelas yang sedang asyik bermain dengan permainan yang dibekalkan.

“Baik semua sekarang kita ada pelawat.Apa yang and kena lakukan?” Suara nyaring itu membuatkan sekumpulan kanak-kanak berhenti bermain. Mereka segera bangun dan salah seorang memberi ucapan selamat diikuti oleh yang lain. Kemudiannya Amir dibawa oleh guru besar itu berjumpa dengan kanak-kanak itu. Mereka bersalaman.

“Seronok sekolah di sini?” Tanyaku pada seorang kanak-kanak perempuan
yang hampir denganku.

“Seronok. Macam-macam ada. Boleh belajar. Boleh main. Kawan pun
ramai.” Jawab kanak-kanak itu sambil tersenyum riang.

  Kami kemudian dibawa ke kawasan asrama. Aku terfikir bagaimana kanak-kanak ini menguruskan diri. Kami dibawa berjumpa dengan seorang penyelia asrama. Kami melalui kawasan dewan makan.

“Kami menyediakan pengasuh untuk menguruskan kanak-kanak di sini. Pengasuh-pengasuh ini sekadar mengawasi dan membantu perkara-perkara yang sukar dilakukan oleh mereka. Selebihnya pengasuh-pengasuh akan cuba mengajar dan melatih mereka melakukan sendiri.”, terang penyelia itu sambil mengiringi kami ke asrama lelaki.

  Aku lihat kanak-kanak itu menguruskan sendiri hal masing-masing. Bergerak ke bilik mandi, memakai baju malah melipat pakaian sendiri. Mereka kelihatan begitu gembira. Hatiku cukup tersentuh melihat keadaan mereka. Tidak kusangka bahawa mereka mampu melakukan sendiri.
Amir yang tadi kelihatan takut-takut sudah mula tersenyum. Malah Amir berbual mesra dengan seorang kanak-kanak lelaki yang dilantik sebagai ketua di kalangan mereka.

  Guru besar yang dikenali dengan nama Puan Rokiah bermurah hati menyediakan kami makan tengah hari. Selepas makan seadanya, kami dibawa melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan. Sebuah perpustakaan mini yang lengkap dengan buku-buku braille dan juga     buku-buku yang dicetak dengan tulisan bersaiz besar turut disediakan. Kemudiannya kami dibawa ke sebuah bilik muzik yang lengkap dengan peralatan. Ketika kami sampai di bilik itu, beberapa orang pelajar sedang rancak bermain alat-alat muzik yang diawasi oleh seorang guru
berbangsa India.

  Pada sebelah petang lebih kurang pukul 5.00 petang, kami dibawa ke sebuah taman permainan. Aku lihat kanak-kanak lelaki dan perempuan asyik bermain. Riang dan bergelak ketawa sesama sendiri sama seperti kanak-kanak normal lain. Sesuatu yang membuatkan aku tidak percaya ialah apabila melihat sekumpulan kanak-kanak lelaki bermain bola sepak. Bola itu mengeluarkan bunyi dan kanak-kanak itu berpandu kepada bunyi itu untuk bermain. Percaya atau tidak ia sudah aku saksikan sendiri.

  Keesokan hari, kami ke sebuah pusat latihan. Pusat ini menyediakan pelbagai bentuk latihan untuk golongan cacat penglihatan. Kami diperkenalkan kepada pengetua pusat tersebut. Seorang lelaki cina yang fasih berbahasa Melayu. Kami diberi penerangan ringkas oleh pengetua tersebut sebelum melawat. Pelatih-pelatih yang menerima latihan kemahiran terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, lelaki dan perempuan, yang mempunyai penglihatan kabur dan juga buta sepenuhnya. Individu yang berumur 18 tahun ke atas layak memohon untuk mengikuti latihan di situ. Aku kagum melihat kerja-kerja tangan yang dilakukan. Kemesraan antara pelatih sesama pelatih dan juga tenaga pengajar membuatkan hatiku berbunga. Terdapat juga bilik memasak untuk para pelatih belajar memasak sendiri dan diawasi oleh tenaga pengajar. Selain mengikuti latihan, pelatih yang beragama Islam tidak ketinggalan menghadiri kelas fardu ain. Begitu juga pelatih bukan beragama Islam menghadiri kelas bimbingan moral.

“Sudah lama belajar di sini?”, soal suamiku kepada seorang pelatih
Melayu yang berada di situ.

“Baru tiga bulan. Sebelum ini saya belajar di sekolah khas. Keputusan saya tidak sebaik rakan-rakan lain sebab itu saya gagal meneruskan pelajaran dan mengambil keputusan mengikuti latihan di sini.”, jawabnya panjang lebar. Pemuda yang bernama Nazri ini begitu ramah walaupun kali pertama bertemu.

“Saya dulu masuk sekolah lambat. Sebab mak dan ayah tidak membenarkan saya bersekolah. Tetapi mak dan ayah mengubah keputusan mereka apabila membaca berita dan menonton televisyen yang menyiarkan kejayaan seorang buta masuk universiti. Mereka menghantar saya bersekolah di sini. Saya sangat gembira sebab mak dan ayah memberi peluang saya bersekolah dan sekarang saya mampu bergerak sendiri dan boleh mengatur kehidupan sendiri.”, pengakuan itu membuat aku terpanah dek tindakanku selama ini. Begitu juga dengan suamiku.

  Sebelum pulang, kami ke surau menunaikan solat Asar bersama-sama pelatih di situ. Aku perhatikan mereka membentang sejadah dan salah seorang daripada mereka dilantik menjadi imam. Aku tertarik dengan bacaan yang dibaca oleh anak muda itu. Syahdu dan menyentuh hati
sesiapa yang mendengarnya. Lancar dan fasih. Malah di akhir solat, dibacanya doa yang aku sendiri tidak tahu membacanya.

  Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, aku dan suami bisu seribu bahasa. Amir yang kelihatan letih nyenyak di pangkuan. Rambut Amir kuusap perlahan. Wajahnya yang comel kurenung dalam-dalam. Entahlah kasihku pada anak lelaki tunggal ini sungguh mendalam. Aku tetap dengan keputusan yang satu ini. Keputusan yang membuktikan aku betul-betul sayang kepada Amir.

“Sayang anak mak”. Dahi Amir kucium perlahan.


Wednesday, February 2, 2011

Masalah Pengangkutan Awam Di Kalangan OKU

Sejak kebelakangan ini,  RAPID KL telah menlancarkan RapidBET iaitu singkatan Rapid Bus Expressway Transit, yang dapat mengurangkan tempoh perjalanan bas sehingga 50 peratus. Melalui sistem itu, bas akan menggunakan lebuh raya untuk sampai ke destinasi tertentu bagi menjimatkan tempoh perjalanan berbanding jalan raya biasa.

Sebagai contoh, sistem yang bermula Selasa ini akan beroperasi di dua laluan yang mempunyai jumlah penumpang tinggi iaitu dari Kota Damansara ke Pasar Seni melalui Penchala Link manakala laluan kedua dari Bandar Sungai Long ke Pasar Seni melalui Lebuhraya Grand Saga.

Namum, warga OKU tidak menikmati perkhidmatan ini. Ini adalah kerana kebanyakan stesen LRT dan stesen bus adalah tidak mesra OKU. Walaupun bus sedang dinaiktaraf bagi menampung kemudahcapaian OKU, tetapi jarang kita nampak warga OKU di atas bus. Jadi apakah punca bagi masalah ini?

Memandangkan situasi di negara kita, warga OKU memang tidak menikmati sistem pengakutan awam yang diperkatakan semakin umum. Di antaranya, reka bentuk yang tidak mesra OKU atau tidak sejagat merupakan punca yang utama.

Kita mendapati bahawa stesen LRT atau hub bus yang disediakan untuk pertukaran, biasanya tidak menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi. Ini menjadi punca masalah kerana bagi para pemandu OKU, tiada tempat letak keretak yang bersesuaian bererti tiada akses bagi mereka.

Infrastruktur pada stesen tersebut tidak menepati piawaian bagi pengguna OKU. Ia biasanya tidak menyediakan cecondong yang diperlukan bagi pengguna kerusi roda, tiada tactile guiding block yang merupakan petunjuk jalan bagi pengguna buta.

Tambahan pula, walaupun sesetengah tempat menyediakan kemudahan mesra OKU, tetapi is tidak dapat dicapai oleh warga OKU, ada yang telah disalahguna oleh pihak ketiga, dan kebanyakan itu reka bentuk yang tidak mesra OKU, di mana OKU tidat menggunakannya.

Secara ringkasnya, kesedaran kepada keperluan OKU masih rendah di negara kita. Ini terbukti dengan adanya kekurangan dari segi pengangkutan awam mahupun infrastruktur pada bangunan awam.

Selain itu, konsep reka bentuk sejagat yang merupakan reka bentuk yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, orang tua, OKU dan orang biasa masih tidak umum di Malaysia.

Sebagai kesimpulan, orang ramai masih mempunyai fikiran bahawa apa yang diperlu oleh OKU adalah kebajikan ataupun pendermaan. Sebenarnya, inilah fikiran yang menghalang pembangunan konsep reka bentuk sejagat.

(Sumber:http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-oku)

Kepentingan Pendaftaran Orang Kurang Upaya

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di dunia ini. 80 peratus daripada golongan OKU ini berada di negara-negara membangun.

Malaysia mempunyai penduduk seramai lebih kurang 28 juta orang. Berdasarkan statistik PBB itu, jumlah OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta orang. Namun begitu, OKU  yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 280 ribu sahaja, 10% daripada anggaran penduduk OKU di negara kita.
Jumlah ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenar bagi golongan OKU di negara kita. Sebahagian besar golongan OKU diabaikan oleh pihak kerajaan, yang keperluan mereka tidak dipertimbangkan. Oleh itu, mereka tidak dapat menikmati kemajuan negara.

Golongan OKU perlu diberikan keutamaan, namun dalam konteks Malaysia, golongan OKU tidak didahulukan, malah sering diketepikan. Malaysia telah menandatangani  Konvensyen Mengenai Hak OKU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi hak OKU tidak diberikan dengan sama rata.

Konvensyen ini menjamin golongan  OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya serta penyertaan penuh serta efektif dalam masyarakat di semua aspek kehidupan - aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya. Biarpun begitu, keadaan ini berbeza di Malaysia, OKU tidak diberi peluang untuk memajukan mereka.

Apabila jumlah OKU di sesuatu kawasan tidak diketahui, sememangnya kita telah gagal merancang untuk mereka. Sebagai contoh, sekolah-sekolah khas tidak dapat disediakan, kemudahan-kemudahan mesra OKU juga tidak dapat dibekalkan dan peluang pekerjaan tidak dapat memenuhi keperluan jumlah OKU yang berkemampuan untuk bekerja.

Pendaftaran OKU adalah secara sukarela, dan usaha JKM untuk mendaftarkan OKU pun secara sukarela. Justeru, statistik yang diperolehi adalah tidak tepat. Apabila jumlah OKU tidak dapat dikenal pasti, maka pelan pembangunan negara tidak dapat memenuhi keperluan mereka.

Kesimpulannya, pendaftaran OKU adalah penting. Dengan berpandukan kepada data yang sedia ada, kerajaan dapat merancang pembangunan negara dengan mempertimbangkan keperluan OKU, dan OKU dapat menyumbangkan tenaga mereka dalam kemajuan Negara.

(Sumber:http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-oku)

Adakah Kerajaan Serius Terhadap Keperluan OKU?

Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini seolah-olah tidak dihormati oleh orang ramai. Begitu juga keperluan OKU sering tidak menjadi keutamaan dalam dasar kerajaan. Ini menyebabkan kehidupan OKU semakin sengsara akibat reka bentuk bangunan yang tidak mesra OKU.

Dalam Persidangan Rekabentuk dan Kemudahcapaian Sejagat yang diadakan pada awal bulan Mac tahun ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah berjanji bahawa apabila Malaysia meratifikasikan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maka kemudahan awam di Malaysia akan lebih akses kepada OKU. Namun begitu,  bagi golongan OKU kerajaan tidak begitu minat ke arah perubahan tersebut.

Bangunan kerajaan yang sepatutnya menyediakan ruang yang cukup untuk pergerakan OKU, tetapi ia tidak dilaksanakan. Semua bangunan dan premis kerajaan tidak dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU.

Sebagai contoh, bangunan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, terdapat lerengan berdekatan dengan pintu masuk, tetapi disediakan tempat letak kereta OKU. Selain itu, motosikal dan kereta diparkir merata-rata tempat sehingga menghalang laluan ke lerengan tersebut.

Keadaan ini sudah pasti akan menghalang OKU yang berkerusi roda atau bertongkat, menggunakan lerengan tersebut. Selain itu, lerengan yang disediakan itu tidak mencapai tujuan asalnya.

Dalam pada itu, kemudahan-kemudahan yang dilabelkan untuk kegunaan OKU sememangnya tidak dapat menampung keperluan OKU. Sebarang reka bentuk untuk kegunaan OKU sepatutnya selaras dengan keperluan mereka. Namun, di Malaysia, sebarang reka bentuk adalah untuk kegunaan pihak pemilik bangunan sahaja.

Ketidakcapaian kepada persekitaran yang mesra OKU ini menunjukkan ketidakupayaan pihak berkuasa untuk memenuhi keperluan OKU. Walaupun kerajaan telah meratifikasikan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya, tetapi sehingga kini keperluan untuk OKU masih belum dipenuhi.

Oleh itu, kerajaan perlu memandangkan serius terhadap keperluan OKU selaras dengan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya agar golongan ini dapat diterima dalam masyarakat dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan.

(Sumber:http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-oku)

Pengangkutan Awam Perlu Sedia Kemudahan Akses OKU

Pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi seseorang untuk menerokai sesebuah Bandar. Sistem pengangkutan awam adalah perkhidmatan pengangkutan penumpang bersama yang sedia untuk digunakan oleh masyarakat umum, di antaranya teksi, bas, LRT, keretapi, feri dan kapal terbang.

Pengangkutan awam tidak dapat dielakkan bagi kemajuan sesebuah Negara. Ia penting kepada semua orang terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Pengangkutan awam juga merupakan satu aspek yang penting bagi industri pelancongan di sesebuah negara sedang membangun seperti Malaysia. Pelancong bergantung kepada pengangkutan awam untuk menjelajahi sekitar Malaysia.
Satu faktor yang penting berkaitan pengangkutan awam bagi pengguna ialah kebolehaksesan, iaitu sistem pengangkutan awam yang boleh diguna dan diakses oleh semua orang, termasuk OKU, wanita mengandung, warga emas, orang berjalan dengan troli atau kereta bayi.

Di Malaysia, kebolehaksesan menjadi halangan utama bagi golongan OKU untuk menyertai aktiviti sosial dan ekonomi seharian, seperti bekerja, membeli-belah, bersenaman atau berekreasi. Kekurangan ini menjejas kualiti hidup golongan OKU.

Kebolehaksesan sistem pengangkutan awam tidak terhad pada bas sahaja, tetapi perlu mempertimbangkan infrastruktur yang sedia ada. Infrastruktur yang berkaitan adalah seperti pejalan kaki, stesen bas dan hub pengangkutan.

Sebagai contoh, walaupun bas menyediakan kemudahan bagi pengguna OKU yang berkerusi roda, tetapi pengguna kerusi roda masih tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas itu, kerana mereka tidak dapat keluar dari rumah akibat keadaan persekitaran yang tidak mesra OKU.

Perjalanan seseorang bermula dari:
- Rumah
- Pengangkutan awam
- Destinasi
- Pengangkutan awam
- Rumah
Bermula dari rumah, beliau memerlukan pengangkutan awam untuk sampai ke destinasi. Kemudian dari destinasi tersebut, beliau sekali lagi menggunakan pengangkutan awam untuk balik ke rumah. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengangkutan awam kepada seseorang sama ada OKU ataupun orang biasa.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU yang berdaftar adalah kira-kira 280 ribu orang, dan terdapat ramai lagi yang tidak berdaftar. Untuk menaikkan taraf hidup golongan OKU, mereka perlu berdikari dan pengangkutan awam memainkan peranan yang penting dalam kehidupan OKU.

Kesimpulannya, kepentingan kebolehaksesan pengangkutan awam memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, khususnya OKU bagi membolehkan mereka dapat turut serta dan memainkan peranan berkesan dalam masyarakat. Oleh itu, tanggungjawab kerajaan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam yang sedia ada bagi manampung keperluan semua orang.

(Sumber:http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-oku)

Bangunkan Dasar Pengangkutan Awam Mesra OKU

Pembentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membentuk satu pelan pembangunan bagi sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Pelan pembangunan itu termasuk dasar-dasar yang akan mencakupi rangka kerja menyeluruh iaitu melibatkan aspek keselamatan pengguna, kecekapan perkhidmatan, rangkaian bersepadu, pengawasan yang berkesan, perancangan bersepadu dan pelaksanaan yang mapan.

Kerajaan telah menunjukkan initiatif untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam. SPAD akan bertanggungjawab mengawal selia dan merancang perkhidmatan ini termasuk rel, bas dan teksi. Antaranya, masalah kesinambungan yang dihadapi semua pengguna perlu diutamakan.
SPAD akan memberi lonjakan baru kepada sistem pengangkutan awam darat terutama di bandar. Ia bertanggungjawab mengemukakan cadangan relevan kepada kerajaan mengenai segala perkara berhubung dengan dasar yang dibangunkan.

Pengerusi SPAD menyatakan bahawa suruhanjaya akan merealisasikan maklamat yang ditetapkan secara holistik dan bukan untuk tujuan tertentu sahaja. Pelan jangka masa panjang akan dikaji. Namun adakah Malaysia berkeupayaan untuk mempertahankan pendekatan holistik ini?

Kesinambungan dan kebolehaksesan merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan daripada perkhidmatan pengangkutan awam. Kesinambungan bererti satu sambungan dari rumah ke pengangkutan awam ke destinasi dan sebaliknya. Kebolehaksesan diperlukan untuk penggunaan semua orang, sama ada orang tua, perempuan mengandung, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak dapat menyediakan satu-satu sistem yang sempurna berasaskan teori yang mudah ini. Kita boleh lihat banyak stesen bus yang dibina di kawasan yang jauh dari jalan utama yang menyebabkan pengguna tidak dapat akses ke stesen bus itu. Isu kebolehaksesan merupakan masalah yang menghantui para pengguna OKU.

Oleh sebab SPAD masih dalam peringkat awal penubuhannya, maka keperluan OKU perlu dipertimbangkan. Pembentukan jawatankuasa OKU di SPAD adalah wajar untuk dipertimbangkan. Sebenarnya, ini merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dapat dinilai oleh pengguna.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan Malaysia akan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsan-Bangsa Bersatu tentang Hak OKU pada masa akan datang. Artikel 9 dalam konvensyen menyatakan kebolehaksesan merupakan salah satu ciri untuk penyertaan adil OKU dalam masyarakat.

Jadi, Malaysia harus membangunkan dasar pengangkutan awam yang bersesuaian dengan golongan OKU.

(Sumber:http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-oku)

Maklumat Mengenai Orang Kurang Upaya

Perkhidmatan Bahagian Orang Kurang Upaya kembali


Kemudahan dan pengesanan awal disediakan bagi mereka untuk menerima rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan. Usaha untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat digalakkan agar mereka bersedia menghadapi cabaran keadaan sosial mereka.


Sempena Dekad Bangsa-bangsa Bersatu bagi Orang Kurang Upaya di Rantau Asia dan Pasifik 1993-2002, negara kita telah mendatangani Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan Peluang bagi Orang Kurang Upaya di Rantau Asia dan Pasifik pada 16 Mei 1994. Agenda Tindakan Dekad ini memberi penekanan kepada kesedaran masyarakat dan penyediaan kemudahan-kemudahan ke arah peningkatan kesejahteraan hidup orang kurang upaya.
Definisi


Seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuh atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu dan tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan sesuatu kekurangan samasa dari segi fizikal atau mental dan samada ia berlaku semenjak lahir atau kemudian dari itu.
Kategori Orang Kurang Upaya
Terdapat 6 kategori kurang upaya yang didaftarkan iaitu:
  • Kurang Upaya Penglihatan
  • Kurang Upaya Pendengaran. Termasuk pekak dan bisu:
    • Minima (Mild) - (20 - < 30 db)
    • Sederhana (Moderate) - (30 - < 60 db)
    • Teruk (Severe) - (60 - < 90 db)
    • Profound - (> 90 db)

Kurang Upaya Penglihatan
  • Buta (blind) - Penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan (cermin mata)
  • Penglihatan terhad (Low Vision/Partially Sighted) - Penglihatan lebih teruk dari 6/18 tapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 dalam mata yang lebih baik penglihatannya walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan (cermin mata).
Kurang Upaya Fizikal
Kecacatan anggota badan misalnya - Penyakit Polio, Kudung, Muscular Dystrophy, Myopathy, Neuropathy, Osteogenesis Imperfecta dll
Cerebral Palsy
  • Hemiplegia - Cerebral Palsy yang melibatkan sebelah bahagian badan
  • Diplegia - Cerebral Palsy yang melibatkan kedua-dua belah kaki
  • Quadriplegia - Cerebral Palsy yang melibatkan kedua-dua belah tangan dan kaki
Masalah Pembelajaran
Dignosa perubatan di bawah kategori ini merangkumi:
  • Lewat Perkembangan (Global Development Delay) (bagi kanak-kanak berumur < 3 tahun)
  • Down' SyndromeAutisma
  • Attention Deficit Hyperactive Disorder
  • Terencat Akal (Mental Retardation) (bagi kanak-kanak berumur > 3 tahun)
  • Masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia, dysgraphia, dyscalculia dll

Lain-Lain
Diagnosa perubatan di bawah kategori ini merangkumi semua masalah kurang upaya yang tidak dinyatakan dalam format.
Bantuan Alat Tiruan
Alat-alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kalipers, kerusi roda, alat pendengaran, cermin mata khas dan alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
Elaun Pekerja Kurang Upaya
Elaun insentif kepada orang kurang upaya yang berkerja dan berpendapatan kurang daripada RM750.00 sebulan bagi individu. Ini adalah untuk menggalakkan mereka berminat untuk bekerja dan mengekalkan dalam sesuatu pekerjaan
Skim Bantuan Pelancaran
Membantu orang kurang upaya yang ada pengetahuan dan kemahiran tetapi ketiadaan modal dan peralatan untuk menjalankan perniagaan kecil.
Bantuan-Bantuan Lain
Orang kurang upaya yang berkeperluan boleh menikmati bantuan-bantuan lain di bawah Jabatan jika berkelayakan seperti:
  • Bantuan kanak-kanak
  • Bantuan orang tua
  • Bantuan kepada belia/beliawanis dan latihan aprentis
  • Bantuan Am
Penempatan kerja


Jabatan membantu mendapatkan kerja di sektor perkilangan, firma dan agensi Kerajaan serta dalam rancangan khas seperti bengkel terlindung, rancangan tanah dan lain-lain.
Bengkel Terlindung


Bagi orang kurang upaya yang tidak dapat memasuki sektor perkhidmatan Kerajaan atau swasta, latihan dan kemudahan tertentu disediakan melalui kerjasama agensi Kerajaan, swasta dan badan berkanun di bengkel-bengkel terlindung yang menyediakan peluang pekerjaan
Perkhidmatan di Dalam Institusi

Membantu memulihkan dan mempertingkatkan kualiti dan taraf hidup orang kurang upaya supaya meraka dapat hidup berdikari dengan memberi pemulihan dan latihan kemahiran yang sesuai. Perkhidmatan di Institusi
  • Memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan
  • Menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan dari segi fizikal, sosial dan rohaniah
  • Menjaga kesihatan dan keselamatan penghuni
  • Memberi pendidikan, bimbingan serta latihan vokasional
  • Penempatan semula dalam masyarakat
  • Mengadakan aktiviti pengeluaran hasil dan aktiviti yang berkaitan dengan masyarakat setempat
  • Memberi kaunseling


Institusi berkaitan Orang Kurang Upaya

  • Taman Sinar Harapan (TSH)
  • Pusat Latihan Perinsustrian dan Pemulihan Bangi (PPLPP)
  • Bengkel Daya
  • Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
  • Rumah Kelompok



Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi

Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi latihan vokasional dan pemulihan perubatan.
Kursus Vokasional

Syarat-syarat:
  • Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya anggota/fizikal
  • Berkelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Sijil Rendah Pelajaran (SRP)/ Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) mengikut jenis kursus
  • Berumur 18 hingga 40 tahun
  • Boleh dilatih dengan kemahiran dan boleh mengurus diri


Jenis-jenis Kursus
Bil Jenis Kursus Tempoh
1. IT Komputer 8 Bulan
2. Pembantu Tadbir Sistem Maklumat 10 Bulan
3.



Juruelektrik
10 Bulan
4. Elektronik 18 Bulan
5. Protestik dan Orthotik 18 Bul



Kursus Pra Vokasional

Syarat-syarat:
  • Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya anggota/fizikal
  • Berumur 14 hingga 25 tahun
  • Boleh dilatih dengan kemahiran dan boleh mengurus diri


Jenis-jenis Kursus
Bil Jenis Kursus Tempoh
1. IT Komputer 24 bulan
2. Membaiki Radio dan TV (Elektronik) 24 bulan
3. Jahitan 24 bulan
4. Lukisan 24 bul



Taman Sinar Harapn (TSH)


Institusi ini memberi latihan kepada individu kurang upaya masalah pembelajaran sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing dan juga memberi perlindungan dan jagaan kepada yang mengalami kecacatan akal yang teruk. Antara program dan aktiviti yang disediakan ialah:
  • Kelas akademik asas (3M).
Soalan Lazim Berkenaan Perkhidmatan Orang Kurang Upaya


1. Mengapa Orang Kurang Upaya (OKU) digalakkan mendaftar dengan JKM?
Sebab utama adalah seperti berikut:-
  1. Supaya kerajaan dapat mengetahui bilangan sebenar dan taburan OKU di negara ini bagi maksud perancangan perkhidmatan, program pemulihan, intervensi awal, pencegahan, latihan dan pendidikan;
  2. Supaya kerajaan dapat merancang kesesuaian program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya;
  3. Supaya kerajaan dapat menyediakan kemudahan yang bertepatan dengan OKU;
  4. Supaya kerajaan dapat mengenalpasti OKU mengikut jenis-jenis kecacatan atau sebagai kad pengenalan diri bagi mereka berurusan dengan pihak-pihak berkenaan;
  5. Supaya OKU dapat menggunakan kemudahan dan keistimewaan oleh kerajaan;
  6. Supaya OKU mendapat maklumat program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.
2. Apakah cara-cara untuk memohon kad OKU?
Cara-cara untuk memohon adalah seperti berikut:-
  1. OKU boleh memohon samada melalui surat, email atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berdekatan dengan tempat tinggal;
  2. Pemohon akan diminta mengisi borang permohonan pendaftaran (diisi oleh Pegawai Kebajikan sekiranya pemohon buta huruf) dan membuat pemeriksaan doktor sebagai pengesahan kecacatannya samada di hospital/ klinik kerajaan atau klinik pakar swasta;
  3. Pemohon juga mestilah menyediakan 3 keping gambar;
  4. Sekiranya OKU yang memohon mempunyai kecacatan yang teruk atau terlantar, dia boleh meminta pertolongan Pegawai Kebajikan Daerah untuk menguruskan pendaftaran.


    (Sumbe:http://pmr.penerangan.gov.my)

Usaha Membantu Golongan OKU

    Sejak akhir-akhir ini isu kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat dalam kalangan rakyat di negara ini. Golongan OKU juga perlu dibela oleh seluruh anggota masyarakat kerana mereka tidak mampu melakukan aktiviti fizikal kerana kecacatan yang dialami itu. Sehubungan itu, institusi kerajaan, sawasta dan orang awam mestilah menyusun strategi atau usaha untuk membantu golongan OKU memajukan diri mereka supaya tidak tersisih dalam arus globalisasi kini. Pada masa yang sama mereka juga dapat memberi sumbangan untuk membangunkan ekonomi Negara ini.

    Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki kenderaan dan perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk bekerja dan dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat. Oleh itu, sokongan daripada pihak kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan pusat-pusat latihan kemahiran OKU ini seperti Program Semai Bakti Pusat (PDK) di bawah pengawasan Felda di seluruh Negara berjaya melatih kira-kira 7,700 orang OKU dalam pelbagai bidang. Jelaslah kemahiran yang dimiliki oleh OKU itu akan membantu OKU berdekari dan menyumbangkan kepada kemajuan serta pembangunan ekonomi negara kita.

    Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang standing dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meninkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka kea rah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.

    Di samping itu, pihak swasta pula tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu bersikap adil kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Kita harus memuji Pasaraya Besar Carrefour telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya adalah OKU menjelang tahun 2010 nanti iaitu berjumlah kira-kira 200 orang. Oleh itu, peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada OKU untuk membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.

    Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan segera melalui Kementeriannya agar minat OKU dalam bidang ini dapat dikembangkan dari masa ke masa. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia ke-9 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM 22 juta melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia. Semua OKU yang berminat boleh membuat permohonan dan perlu mendapat sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.

    Kesimpulanya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan Negara menjelang tahun 2020 nanti. Bak kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.