Powered By Blogger

Wednesday, February 2, 2011

Pengangkutan Awam Perlu Sedia Kemudahan Akses OKU

Pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi seseorang untuk menerokai sesebuah Bandar. Sistem pengangkutan awam adalah perkhidmatan pengangkutan penumpang bersama yang sedia untuk digunakan oleh masyarakat umum, di antaranya teksi, bas, LRT, keretapi, feri dan kapal terbang.

Pengangkutan awam tidak dapat dielakkan bagi kemajuan sesebuah Negara. Ia penting kepada semua orang terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Pengangkutan awam juga merupakan satu aspek yang penting bagi industri pelancongan di sesebuah negara sedang membangun seperti Malaysia. Pelancong bergantung kepada pengangkutan awam untuk menjelajahi sekitar Malaysia.
Satu faktor yang penting berkaitan pengangkutan awam bagi pengguna ialah kebolehaksesan, iaitu sistem pengangkutan awam yang boleh diguna dan diakses oleh semua orang, termasuk OKU, wanita mengandung, warga emas, orang berjalan dengan troli atau kereta bayi.

Di Malaysia, kebolehaksesan menjadi halangan utama bagi golongan OKU untuk menyertai aktiviti sosial dan ekonomi seharian, seperti bekerja, membeli-belah, bersenaman atau berekreasi. Kekurangan ini menjejas kualiti hidup golongan OKU.

Kebolehaksesan sistem pengangkutan awam tidak terhad pada bas sahaja, tetapi perlu mempertimbangkan infrastruktur yang sedia ada. Infrastruktur yang berkaitan adalah seperti pejalan kaki, stesen bas dan hub pengangkutan.

Sebagai contoh, walaupun bas menyediakan kemudahan bagi pengguna OKU yang berkerusi roda, tetapi pengguna kerusi roda masih tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas itu, kerana mereka tidak dapat keluar dari rumah akibat keadaan persekitaran yang tidak mesra OKU.

Perjalanan seseorang bermula dari:
- Rumah
- Pengangkutan awam
- Destinasi
- Pengangkutan awam
- Rumah
Bermula dari rumah, beliau memerlukan pengangkutan awam untuk sampai ke destinasi. Kemudian dari destinasi tersebut, beliau sekali lagi menggunakan pengangkutan awam untuk balik ke rumah. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengangkutan awam kepada seseorang sama ada OKU ataupun orang biasa.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU yang berdaftar adalah kira-kira 280 ribu orang, dan terdapat ramai lagi yang tidak berdaftar. Untuk menaikkan taraf hidup golongan OKU, mereka perlu berdikari dan pengangkutan awam memainkan peranan yang penting dalam kehidupan OKU.

Kesimpulannya, kepentingan kebolehaksesan pengangkutan awam memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, khususnya OKU bagi membolehkan mereka dapat turut serta dan memainkan peranan berkesan dalam masyarakat. Oleh itu, tanggungjawab kerajaan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam yang sedia ada bagi manampung keperluan semua orang.

(Sumber:http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-oku)

No comments:

Post a Comment